OPEN FOR ORDER: CALL/ PM/ WE CHAT/ WHAT'S APP AT 0193031450

Friends And Cribs

Tuesday, November 26, 2013

Apa itu MERS-CoV?

Assalamualaikum, semua ;)

Hai, korang!.

Nak share info sikit...daripada aku biarkan blog ni tak bergerak tanpa ada cerita mahupun gosip panas. Maka aku kongsi info untuk pengetahuan anda-anda semua. 

MAKLUMAT MENGENAI KEJADIAN JANGKITAN MIDDLE EAST RESPIRATORY SYNDROME CORONAVIRUS (MERS-CoV) UNTUK ORANG AWAM LATAR BELAKANG MENGENAI KEJADIAN JANGKITAN MERS-CoV

Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula melaporkan mengenai kejadian
jangkitan Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) pada
September 2012. Sehingga 4 November 2013, sejumlah 150 kes MERS-CoV yang
disahkan melalui ujian makmal telah dilaporkan dari seluruh dunia, meliputi 64
kematian.

MERS-CoV adalah merupakan salah satu ahli keluarga (strain) dari kumpulan
coronavirus. Ia merupakan kumpulan keluarga virus yang besar dan terdiri dari
pelbagai strain yang boleh menjangkiti manusia dan juga haiwan. SARS yang
pernah menggemparkan dunia pada 2003, merupakan salah satu dari strain
coronavirus tersebut. Namun begitu, MERS-CoV dan SARS adalah dua strain
coronavirus yang berbeza di antara satu dengan yang lain.

Pada ketika ini beberapa negara di rantau Timur Tengah melaporkan kes MERSCoV
dan negara-negara tersebut adalah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jordan,
Qatar dan Tunisia. Begitu juga dengan beberapa negara dari rantau Eropah, iaitu
Itali, Jerman, Perancis dan United Kingdom. Bagi kes yang dilaporkan dari Tunisia
dan negara-negara rantau Eropah, mereka samada mempunyai sejarah lawatan ke
rantau Timur Tengah atau sejarah kontak dengan pelawat yang bergejala sejurus
pulang dari lawatan ke Timur Tengah.

Gejala utama yang dikesan dalam kalangan kes MERS-CoV merupakan jangkitan
respiratori yang berlaku secara akut dan serius, iaitu demam dan kesukaran untuk
bernafas. Kebanyakan kes mengalami radang paru-paru dan terdapat juga
sebahagian kes yang dikesan dengan gejala gastrointestinal seperti cirit birit. Bagi
individu yang menghidapi penyakit kronik dan kurang daya tahan jangkitan
(immunocompromised), gejala jangkitan mungkin berlaku dalam bentuk yang tidak
lazim (atypical).

Punca jangkitan (source of infection) dan cara jangkitan (mode of transmission) bagi
jangkitan MERS-CoV ini masih lagi belum dapat dikenalpasti. Pihak WHO juga
menegaskan bahawa tahap penularan jangkitan tersebut secara keseluruhannya
tidak diketahui dan tiada vaksin untuk MERS-CoV pada ketika ini. Buat masa ini,
pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalananan (travel advisory)
atau mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat.


NASIHAT KESIHATAN

Kebanyakan kes yang dilaporkan adalah dari negara Arab Saudi. Mengambilkira
situasi semasa kejadian jangkitan MERS-CoV di sana dan kekerapan rakyat
Malaysia berkunjung ke Tanah Suci samada bagi mengerjakan ibadah umrah dan
juga haji, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menasihatkan mengenai
perkara-perkara seperti berikut:

a) Khusus Bagi Jemaah Haji / Umrah Yang Baru Pulang Dari Tanah Suci:

• Hadkan perjumpaan bersama ramai orang dalam tempoh dua (2) minggu
dari tarikh ketibaan di Malaysia.

• Sentiasa mengamalkan kebersihan diri.

• Amalkan mencuci tangan secara kerap.

• Menjaga adab batuk.

• Sekiranya tidak sihat, dapatkan rawatan lanjut serta maklumkan
mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat.

b) Khusus Bagi Ahli Keluarga Kepada Para Jemaah Haji / Umrah Yang Baru
Pulang Dari Tanah Suci:
Sekiranya ahli keluarga mempunyai kontak rapat (close contact) dengan
jemaah yang baru pulang dari Tanah Suci dan mempunyai gejala jangkitan
respiratori akut, perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital
yang berdekatan, serta maklumkan mengenai sejarah perjalanan ahli
keluarga mereka yang berkaitan kepada doktor yang merawat.

c) Kepada Orang Awam:
• Mendapatkan maklumat mengenai gejala penyakit MERS-CoV dan
perkembangan semasa mengenai penyakit tersebut dengan melayari
laman sesawang Kementerian Kesihatan di http://www.moh.gov.my.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung kejadian jangkitan MERS-CoV,
sila hubungi talian hotline MERS-CoV seperti butiran berikut:
No. Telefon: 03-8881 0200
Waktu Operasi: 8:00 pagi – 5:00 petang
(Isnin hingga Jumaat, kecuali cuti umum)


• Amalkan kebersihan diri:
- Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau
menggunakan hand sanitizer.
- Menjaga adab batuk.

• Segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan jika
mengalami gejala jangkitan respiratori akut seperti demam, batuk dan
sesak nafas dalam tempoh dua minggu selepas mempunyai kontak
dengan orang sakit atau sesiapa yang baru pulang dari luar negara.

• Sekiranya bergejala, elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan
awam.

Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
November 2013

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Happy Readings!


Ok. Wassalam.

No comments:

Post a Comment