OPEN FOR ORDER: CALL/ PM/ WE CHAT/ WHAT'S APP AT 0193031450

Friends And Cribs

Friday, June 3, 2011

REJAB


Assalamualaikum semua ;)



Hai, korang!. Hmmmmm, nampaknya bulan Rejab kembali lagi. Alhamdulillah. Ia merupakan bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam. Banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang telah diriwayatkan oleh para sahabat Baginda mengenai kelebihan bulan Rejab, bulan ketujuh di dalam kalendar Islam. Rejab bermaksud ta’azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah S.W.T. akan melimpahkan rahmat-Nya, kemurahan-Nya.



Fadhilat Bulan Rejab . . . . .


• Sesiapa yang berpuasa 3 hari dalam bulan Rejab dan beribadat pada malamnya seperti dia berpuasa 3,000 tahun, diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar setiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa dari jasadnya, 70 hajat ketika di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Al-Quran dinaikkan ke langit), 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan, dan 70 hajat ketika melalui titian Siratul Mustaqim.

• Berpuasa pada 27 Rejab bersamaan hari Rabu 29hb Jun 2011 (Hari Israk dan Mikraj) seperti berpuasa 60 bulan pahalanya, jika disertai dengan sedekah seumpama puasa 1,000 tahun.

• Dapat meminum air sungai yang dinamakan Rejab yang mana airnya lebih putih dari susu, lebih manis daripada manisan, lebih dingin dari salji.

• Setiap umat Islam yang berpuasa di bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya. Tambahan bersedekah seperti beribadat seribu kali haji dan umrah. Dibina untuknya seribu mahligai dengan seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali.

• Sedekah di bulan Rejab seumpama sedekah seribu dinar, dituliskan kepada tiap-tiap helai bulu romanya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat dan dihapuskan seribu kejahatan serta dijauhkan daripada api Neraka.

Orang yang lemah dari berpuasa di bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari, sekurang-kurangnya sebuku roti.

Kelebihan lain bulan Rejab:

1. Di dalam bulan lain Allah membalas amalan umat-Nya 10 kali, tetapi di dalan bulan Rejab Allah akan membalas amalan umat-Nya 70 kali.

3. Rejab bulan Allah, Sya’aban bulan Rasulullah. S.A.W, Ramadhan bulan umat Rasulullah S.A.W.

4. Rejab adalah bulan menabur benih, Sya’aban bulan menyiram tanaman manakala Ramadhan bulan menuai.

5. Amalan di dalam bulan Rejab menyucikan badan, Sya’aban menyucikan hati manakala Ramadhan menyucikan roh.

6. Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Sya’aban bulan syafaat manakala Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.

7. Rejab adalah bulan taubat, Sya’aban bulan muhibbah manakala Ramadhan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.

8. Pahala amalan baik di dalam bulan Rejab diganda 70 pahala, Sya’aban diganda 700 pahala dan Ramadhan diganda 1,000 pahala.

Beberapa amalan lain yang baik dilakukan dalam bulan Rejab:

1. Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun

2. Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan istighfar dan zikir

3. Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat

4. Memohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya

5. Menginsafkan diri dengan membaca kisah teladan perjuangan Rasulullah S.A.W. dan sirah Islam lain.

Peristiwa penting yang telah berlaku dalam bulan Rejab:

1. Israk dan Mikraj (27 Rejab)

2. Solat 5 waktu difardukan ke atas umat Islam (Malam Israk Mikraj)

3. Perang Tabuk terjadi di dalam tahun ke-9 Hijrah.

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa di mana Nabi Muhammad S.A.W telah di”israk”kan (dibawa berjalan) dari Kota Mekah ke Baitul Muqaddis serta di”mikraj”kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah S.W.T di mana Solat 5 waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah S.A.W. Semuanya berlaku di dalam satu malam sahaja. Firman Allah SWT:

Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui – Petikan dari Surah Al Israa ayat 1.

DOA BULAN REJAB:

Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Sya’aban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadan. Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepadaNya.

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang patut disembah kecuali Engkau yang mencipta aku. Aku adalah hambaMu dan aku dalam genggamanMu. Aku dalam perjanjian (beriman dan taat) kepadaMu sekadar kemampuan yang ada padaku.


Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang (mungkin) aku lakukan. Aku mengakui atas nikmat yang engkau berikan kepadaku dan mengakui dosa-dosaku. Kerana itu aku memohon keampunan-Mu dan sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa seseorang kecuali Engkau Ya-Allah.


Istighfar paling baik dalam bulan Rejab:
Maksudnya: Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepadaNya.

Kesimpulannya, bulan Rejab merupakan sebuah bulan yang banyak keistimewaannya yang dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada umat-Nya, kerana Rejab adalah bulan Allah. Pintu rahmat terbuka luas kepada umat-Nya untuk bertaubat dan memohon ampun di atas dosa-dosa yang lepas. Namun begitu, suka diingatkan bahawa kita perlu mengerjakan segala amalan yang dituntut ini dengan sifat ikhlas, rendah diri dan tawwaduk agar ganjaran yang akan diperolehi itu ada keberkatannya.

p/s: renung-renungkan dan selamat beramal!

ADIOS!

No comments:

Post a Comment